Berbagai usaha kini telah dilakukan menerusi evolusi teknologi bagi membantu pekebun kecil getah yang dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia antaranya RRIMniaga telah digunakan hampir satu tahun.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia bagi tujuan merekodkan transaksi pembelian dan penjualan getah oleh peniaga getah berlesen LGM (rubber dealers).

“Antara objektif utama RRIMniaga adalah untuk mendapatkan data pengeluaran pekebun kecil, produktiviti dan harga peringkat ladang setempat yang terkini melalui peniaga getah berlesen.

“Perolehan sumber data-data ini akan secara pantas hanya menggunakan talian internet, sekaligus menggantikan cara konvensional melalui penggunaan resit rasmi dan buku rekod jual beli getah yang mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja.

“Selain itu, pekebun kecil turut mendapat manfaat dalam proses tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tanpa melalui proses konvensional kerana aplikasi ini diintegrasikan dengan Sistem IPG,” katanya.

Proses ini adalah lebih mudah kerana pekebun kecil tidak lagi perlu ke pejabat LGM untuk membuat permohonan IPG kerana IPG akan disalurkan terus ke akaun bank pemohon selepas melalui prosedur semakan semasa dan harga pengaktifan IPG yang diumumkan oleh LGM pada bulan seterusnya.

Menurut Khairuddin berkata, selepas penggunaannya hampir satu tahun, kira-kira *130,000 pekebun kecil yang aktif menoreh telah memanfaatkan tuntutan Intensif Pengeluaran Getah (IPG) yang diperkenalkan oleh Kerajaan sejak tahun 2015 bagi membantu pekebun kecil menangani impak kejatuhan harga getah.

” Jika diteliti, sistem aplikasi ini telah mula dimanfaatkan di Melaka pada Jun 2018 dan ia kini berkembang ke Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis dan Selangor.

“KPPK telah menetapkan penggunaan aplikasi ini diwajibkan mulai 1 Januari 2021 kepada semua pelesen untuk transaksi jual beli getah yang melibatkan sekitar 2,600 peraih di seluruh negara,” katanya .

Tamat