Sime Darby Plantation Bhd (SDP) di Ladang Tennamaram menyediakan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) ketiga di Bestari Jaya, Selangor, bagi kemudahan suntikan vaksin COVID-19 untuk kira-kira 6,500 pekerja ladang.

Menerusi kenyataannya pagi tadi, syarikat itu berkata PPVIN itu tidak hanya menyediakan perkhidmatan untuk pekerja sektor minyak sawit, getah dan sektor pertanian SDP di negeri berkenaan, tetapi turut membabitkan pekerja ladang syarikat-syarikat lain.

PPVIN itu juga berperanan sebagai usaha rintis bagi sektor perladangan di Semenanjung Malaysia di bawah Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) yang diterajui oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) serta Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).PPVIN Tennamaram itu dibuka hasil bantuan serta kerjasama agensi kerajaan berkaitan termasuk Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, MPIC, MPOA dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

PPVIN Tennamaram itu dibuka hasil bantuan serta kerjasama agensi kerajaan berkaitan termasuk Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan, MPIC, MPOA dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan SDP Mohamad Helmy Othman Basha berkata, adalah penting untuk pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara, turut diberi peluang untuk mendapat suntikan vaksin.

“Walaupun keadaan kesihatan dan kesejahteraan pekerja ini amat diutamakan, kami juga perlu memastikan bahawa keseluruhan langkah pemberian vaksin ini adalah secara sukarela dan pekerja terbabit memahami proses serta keperluannya,” katanya.

Pada awal bulan ini, SDP telah membuka dua PPVIN di Ladang Rajawali dan Lavang di Bintulu, Sarawak yang membabitkan usaha pemberian suntikan vaksin untuk lebih 4,000 pekerja.