Bermula 1 Ogos ini, harga runcit maksimum baharu bagi minyak masak sawit akan dikuatkuasakan bagi seluruh negara.

Setelah dinilai, harga runcit maksimum minyak masak sawit ditetapkan bagi botol lima kilogram (kg) ialah RM29.70, botol satu kg (RM6.70), dua kg (RM12.70) dan tiga kg (RM18.70).

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO).

“Melalui pelaksanaan harga kawalan untuk minyak masak tulen, pengguna dijamin mendapat minyak masak di bawah harga RM30 bagi botol lima kg dan lain-lain kuantiti tanpa mengira kedudukan harga sawit semasa,” kata KPDNHEP dalam kenyataan, hari ini.

KPDNHEP berkata penetapan harga runcit maksimum minyak masak itu dibuat di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2021.

Ia turut mengambil kira pandangan agensi, industri dan trend harga di pasaran.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata melalui kenyataanya sebelum ini, minyak masak sawit yang dijual di Malaysia akan dinilai melalui program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah (CPO).

“Namun harga dipasaran tidak akan melebihi RM 30, bagi setiap 5 liter. Walaubagaimanapun orang ramai yang mempunyai pendapatan di peringkat B40 dan M40 boleh membeli minyak masak bersubsidi.

“Ini kerana minyak masak bersubsidi memang dikhaskan untuk kegunaan golongan berkenaan dan ianya mempunyai nilai khasiat yang sama,”katanya.

Tamat