Komuniti pekerja sektor industri kayu-kayan mula divaksin hari ini di Olak Lempit, Banting, Selangor, menerusi program khas Malaysian Timber Council MTC.

Program ini adalah bertujuan menyahut seruan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai sektor ekonomi keempat yang terlibat dalam program Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melalui kenyataanya dulu berkata, pihaknya mengambil sasaran pekerja dan penglibatan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi pengoperasian PPVIN di FIDEC, Olak Lempit yang mensasarkan 7,800 pekerja.

“Kementerian amat mengharapkan lebih banyak PPVIN sektor agrikomoditi akan dapat dibuka oleh pihak industri serta persatuan bagi membantu Kerajaan menjayakan PICK dalam tempoh yang telah disasarkan bagi mencapai imuniti kelompok untuk menjayakan matlamat Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

“Dua lokasi PPVIN dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya akhir bulan ini untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memfokuskan kepada sektor perladangan sawit di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor dan juga di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) di Olak Lempit, Banting, Selangor,” katanya menerusi sidang media terdahulu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Timber Council, Muhtar Suhaili berkata, bagi sektor kayu-kayan, Malaysian Timber Council – MTC telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pelaksanaan program ini dengan kerjasama Malaysian Timber Industry Board – MTIB.

“Lokasi PPVIN MTC bagi projek pemula (pilot) untuk pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ialah di Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) di Olak Lempit, Banting, Selangor dan mula beroperasi pada hari ini,”.

“Nama khas untuk PICK di bawah sektor agrikomoditi dan perkayuan di Olak Lempit yang dilaksanakan ini ialah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi atau Vaccination Programme for the Agricommodity Sector (VACOMS)”.

“Program yang bertujuan bagi mencapai imuniti kelompok dalam industri perkayuan ini sekaligus menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan hadapan ekonomi,” katanya menerusi posting di laman Facebook milik beliau.

Tamat