Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mahu mempercepatkan serta memperluaskan lagi Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (Vacoms) menerusi Program Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak dalam tempoh terdekat di kalangan pekerja ladang.

Hasrat itu selaras dengan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melalui kenyataanya dulu berkata, pihaknya amat mengharapkan lebih banyak PPVIN sektor agrikomoditi.

“Kementerian berharap ianya dapat dibuka oleh pihak industri serta persatuan bagi membantu Kerajaan menjayakan PICK dalam tempoh yang telah disasarkan bagi mencapai imuniti kelompok untuk menjayakan matlamat Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

“Dua lokasi PPVIN dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya akhir bulan ini untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang akan memfokuskan kepada sektor perladangan.

“Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk
mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada kumpulan barisan
hadapan ekonomi, kelulusan yang telah diberikan oleh CITF adalah
merupakan perkhabaran malah galakan yang sangat ditunggu-tunggu
oleh industri sektor itu,” katanya menerusi sidang media terdahulu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ravi Muthayah berkata, pihaknya masih menunggu permohonan secara rasmi daripada Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), sebelum perkara itu dibincangkan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka lebih banyak PPV bergerak di sektor perladangan di seluruh negara bagi membolehkan proses vaksinasi pekerja ladang dipercepatkan.

“Kita ingin membawa kemudahan PPV bergerak ini bagi membolehkan semua pekerja perladangan selaku nadi sektor pertanian negara diberi peluang mendapat suntikan vaksin,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi di Ladang Tennamaram di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ravi berkata, pelaksanaan vaksinasi secara bergerak di sektor perladangan itu nanti akan dilaksanakan secara usahasama dengan Poliklinik Sri Prima.

“Mungkin kita dapat memberikan vaksin secara bergerak ini kepada 100, 200 atau 300 individu di setiap ladang. Pemberian vaksin bergerak ini merupakan kaedah paling selamat dan mudah berbanding orang ramai bergerak ke tempat vaksin.

“Selain itu, ia lebih menjimatkan kos dan lebih pantas serta tidak melibatkan ramai orang selain lebih bersasar,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Nageeb Wahab berkata, pemberian vaksin secara bergerak di sektor perladangan dijangka mampu memanfaatkan seramai 165,000 ahli MPOA.

Tamat