Minyak sawit tetap teguh di atas pasarannya seluruh dunia walaupun diboikot Kesatuan Eropah (EU) pada ketika ini. Jelasnya pasaran yang ada kini adalah lebih baik.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pihak kerajaan tidak menganggap usaha EU untuk memboikot minyak sawit adalah satu kerugian besar kepada industri sawit negara.

“Ini kerana keputusan beberapa negara Eropah menolak minyak sawit negara tidak menjejaskan eksport produk itu yang kini berjumlah 20 juta tan sehari. walaupun EU menentang sawit dari sudut penggunaan biodiesel tetapi mereka tidak boleh menghalang penggunaan minyak sawit dalam kehidupan harian.

“Mana ada satu bahan pencuci badan, pencuci rumah atau makanan seperti coklat yang tidak menggunakan sawit.

“Sawit tidak dapat dipisah oleh manusia hari ini dan saya mencabar mana-mana negara yang memboikot sawit boleh mengambil minyak lain yang lebih mahal.

“Minyak sawit negara, murah dan berkhasiat dan yakin apa yang kita ada. Pada masa sama kita besarkan lagi pasaran kita,” katanya pada program Perasmian Gerobok Amal Kongsi Rezeki anjuran Yayasan Amal Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, selepas menjalankan usaha mempromosikan minyak sawit melalui MoU baru, banyak negara menunjukkan minat untuk membeli minyak sawit negara dan terbaharu, Iran sudah menyatakan minat untuk membeli satu juta tan, selain Uzbekistan.

Oleh itu lawatan ke kedua-dua negara berkenaan akan diadakan pada September ini bagi membincangkan perkara itu. Nyata tanpa sokongan dari blok EU, minyak sawit Malaysia kini mendapat sokongan global dari benua Afrika dan juga Asia.

Selain Iran dan Uzbekistan, katanya, terdapat beberapa lagi negara di benua Afrika dan Asia Tengah menunjukkan minat untuk membeli minyak sawit negara.

“Kempen anti minyak sawit EU ke atas Malaysia hanya gangguan jangka pendek dan negara perlu melihat dari sudut gambaran lebih luas dengan menilai pasaran yang semakin berkembang pesat di seluruh dunia,”katanya.

Malaysia pada masa sama telah mengadakan sesi konsultasi secara maya bersama EU berhubung tindakan undang-undang ke atas kesatuan berkenaan berkaitan isu yang dikaitkan dengan diskriminasi kepada industri sawit negara.

Sesi terbabit disertai delegasi yang diwakili oleh Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) serta agensi lain berkaitan.

Januari lalu, Malaysia memulakan tindakan undang-undang ke atas EU berikutan kempen berkenaan.

Parlimen Eropah meluluskan satu resolusi yang mensyaratkan hanya minyak sawit dihasilkan secara lestari boleh diimport ke pasaran EU selepas 2020.