KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mencipta teknologi untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.
Penemuan ini seiring dengan saranan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementerian akan memberi fokus bagi pembangunan jentera ladang terutamanya untuk kerja penuaian buah sawit dan pengangkutan di ladang bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja dan kecekapan operasi, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap buruh.
“Penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja yang kurang menarik berbanding sektor lain,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin menjelaskan, sejak tahun 1993 sehingga tahun ini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri, yang mana sejumlah 221 daripadanya telah pun dikomersialkan oleh usahawan perusahaan kecil dan sederhana.
“Teknologi disediakan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan serta formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.
“Pengkomersialan teknologi MPOB telah menyumbang pendapatan dengan anggaran nilai pasaran melebihi RM5 bilion,” ujarnya ketika merasmikan program Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 baru-baru ini.
Sementara itu , Ketua Pengarahnya, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata teknologi yang dikenali Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan ke persekitaran.
“Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi serta kandungan abu yang rendah.
“Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit. Prototaip teknologi ini telah diuji di lapangan dan terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Parveez berkata, penyelidik MPOB yang diketuai oleh Dr Nahrul Hayawin Zainal, mula menjalankan kajian pada 2019 dan telah melancarkan teknologi terbabit di seminar berkenaan.
“Bahan buangan POME mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.
“Kilang kelapa sawit perlu merawat POME untuk pemuliharaan alam sekitar dan mematuhi peraturan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan syarat pelesenan MPOB,” katanya.
Beliau menjelaskan, teknologi untuk merawat POME adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia yang digunakan semasa proses rawatan.
“Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.
“Pembuangan akhir sisa efluen POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula dan karbon teraktif yang telah digunakan boleh dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
“Kajian mendapati baja organik ini kaya dengan unsur-unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil dari penjerapan sisa akhir efluen POME. Justeru, teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada teknologi, MPOB telah membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.
Teknologi secara dua-dalam-satu itu lebih mudah digunakan berbanding sistem pembakaran secara konvensional.
Proses pembakaran secara dua-dalam-satu ini juga dapat mengurangkan kos pengeluaran, tenaga, dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.
“Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” tambah Ahmad Parveez.