Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang, itulah pepatah yang dapat digambarkan kini apabila harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi bulanannya sejak April 2009 bulan lalu kepada RM4,656 satu tan.

Ia bertepatan dengan kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya menjangkakan hasil positif daripada harga sawit menerusi peningkatan jumlah eksport minyak sawit secara signifikan sejak bulan Jun tahun lalu.

“Saya yakin Malaysia bukan sahaja mampu pulih daripada cabaran ini tetapi akan menjadi lebih kukuh daripada sebelum ini,” katanya.

Menurutnya Mohd. Khairuddin amat berkeyakinan bahawa permintaan minyak masak global kini kembali pulih tahun merancak naik walaupun berhadapan dengan pandemik Co­vid-19 memandangkan banyak sektor ekonomi pemakanan telah dibuka semula.

“Sebagai minyak yang paling banyak dihasilkan pada harga paling kompetitif dalam pasaran dunia, minyak sawit bersedia menghadapi cabaran dengan tidak hanya memberikan pilihan berpatutan tetapi pilihan sihat untuk memenuhi permintaan.

“Walaupun ekonomi global 2021 dijangka pulih pada kadar yang perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun ia tidak akan menyekat penggunaan minyak dan lemak global membolehkan ianya terus bersaing dengan peneraju lain bagi mengekalkan status sebagai peneraju pasaran,” katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB Futures Sdn Bhd dalam nota penyelidikanya, berkata MSM melonjak 21 peratus pada Julai dan terus mencatat peningkatan 2.3 peratus dalam dagangan awal minggu ini, kenaikan mingguan keenam berturut-turut, sekali gus menjadikannya pada kedudukan prestasi terbaik dalam tempoh setahun.

“Menurut sumber daripada penganalisis, pasaran menjadi positif susulan kebimbangan mengenai cuaca buruk bagi tanaman kacang soya dan isu pengeluaran minyak sawit yang mendominasi sentimen,” katanya.

Kontrak niaga hadapan MSM bagi Ogos 2021 di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) berada pada RM4,656 satu tan, hari ini selepas ia dibuka tinggi RM4,490 satu tan.

Harga purata niaga hadapan MSM di BMD pada Julai berada pada harga RM3,983 satu tan, susut sedikit berbanding Jun iaitu RM3,997 satu tan dan lebih rendah berbanding Mei (RM4,729) dan April (RM4,214).

CGS-CIMB berkata, menurut penganalisis, niaga hadapan jagung dan kacang soya Amerika Syarikat (AS) susut jatuh kira-kira 2.0 peratus pada Jumaat susulan aktiviti jualan penjualan teknikal dan kecairan berpanjangan pada akhir minggu dan bulan Julai.

Sementara itu, peniaga sawit, David Ng, berkata isu semasa di Malaysia membabitkan pengeluaran minyak sawit disebabkan masalah buruh dan kurang pembajaan yang mempengaruhi hasil secara umum telah melonjakkan harga MSM.

“Justeru, ia akan menyokong harga MSM dalam tempoh jangka sederhana selagi isu buruh kekal.

“Selain itu, negara kini berada dalam musim puncak pengeluaran kelapa sawit tetapi tiada kenaikan (bekalan) yang dapat dilihat daripada aspek pertumbuhan pengeluaran.

“Berdasarkan faktor ini, kita akan melihat harga MSM menjadi lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, pengeluaran kelapa sawit dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini.

“Untuk tempoh jangka panjang, kami menjangkakan pengeluaran meningkat secara signifikan selepas pekebun kecil akan menjadi lebih agresif dalam membaja tanaman ketika tempoh harga MSM tinggi,” katanya.

Firma penyelidik itu mengekalkan saranan positif dengan sasaran harga MSM tahun ini berada pada RM3,200 satu tan.

“Kami percaya situasi bekalan yang lebih ketat akan berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku ketiga tahun ini susulan pertumbuhan perlahan dalam pengeluaran,” katanya.

Dari aspek permintaan, MIDF berkata, aktiviti pengisian bagi mengimport minyak sawit terus berada dalam keadaan baik pada tahun ini disokong pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi.

“Dari segi harga, kami menjangkakan harga MSM menyederhana pada separuh kedua tahun ini dengan ramalan bahawa pengeluaran pulih disokong keadaan cuaca lebih baik, bekalan dalam trend menaik disebabkan tempoh kemuncak pengeluaran dan pengeluaran kacang soya lebih tinggi,” katanya.

Tamat