Seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan divaksinasi di PPVIN MTC di Olak Lempit sehingga 4 September ini dan bakal mengangkat semula pasaran industri berkenaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, operasi PPVIN melalui kerjasama dengan pihak industri adalah kaedah terbaik bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada semua pekerja sektor agrikomoditi.

“Melalui cara ini, pekerja di sektor agrokomiditi tidak perlu lagi bergantung kepada PPV Awam mempunyai kekangan sendiri dan perlu menunggu masa agak lama.

“Usaha ini dibuat bagi menyokong usaha Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi ini, oleh pihak industri digalakkan terlibat secara langsung sebagai pemudah cara dengan mewujudkan PPVIN sendiri di lokasi yang bersesuaian, setelah mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF),” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Olak Lempit Banting hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut YB Dato’ Sri. Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta YBhg. Datuk Ravi Muthayah, Ketua Setiausaha KPPK.

Mengikut laporan sebelum ini, sektor perkayuan di negara ini berdepan keadaan suram dengan anggaran kerugian bernilai RM3.6 bilion bagi tempoh dua bulan selepas tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada Jun lalu.

Jumlah kerugian besar iaitu kira-kira RM60 juta sehari itu tidak termasuk kerisauan kehilangan kontrak dalam pasaran sekarang.

Oleh itu, sebagai sokongan awal serta memberi galakan kepada pekerja untuk menyokong program ini, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) telah memberi subsidi sebanyak RM30 untuk setiap pekerja dan kakitangan industri terlibat.

Khairuddin berkata, bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai Program VACOMS boleh dibuat melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut.

“Pelaksanaan kaedah PPV Bergerak juga boleh dibincangkan dengan lebih lanjut oleh pihak industri bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai trak vaksin dan dikemukakan permohonan kepada KPPK untuk diluluskan oleh CITF.

“Pemain industri perlu faham, pemberian vaksin adalah percuma, namun pihak syarikat masih perlu menanggung kos pentadbiran vaksin dan kos pengoperasian PPVIN sama ada di lapangan atau pun secara bergerak. Caj keseluruhan yang ditetapkan bagi setiap pekerja juga tidak melebihi RM100,” katanya.

KPPK pada masa sama menyasarkan lebih banyak PPVIN di bawah Program VACOMS dapat dibuka oleh industri bagi mencapai imuniti kelompok dalam tempoh terdekat. Walau bagaimanapun, proses pembukaan PPVIN adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan CITF.