Kenaikan harga minyak sawit mentah bukan menjadi lesen untuk peladang haram meneroka tanah kerajaan mahupun hutan simpan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, pihaknya memberi amaran bahawa hanya akan mengeluarkan lesen menjual kepada pemilik tanah kelapa sawit yang bergeran sah.

“Perladangan haram ini telah bermula agak lama, kerana mereka menanam secara diam-diam mengambil tanah kerajaan seperti di bawah Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan sebagainya.

“Bila mereka sampai masa untuk menuai hasil, selepas tiga atau empat tahun mereka perlukan lesen untuk menjual. Masalah akan berlaku kerana kita tidak akan mengeluarkan lesen kepada ladang yang tidak bergeran,” katanya ketika mengulas mengenai penanaman kelapa sawit haram di Kuala Langat Selatan melibatkan Kawasan Hutan Simpan seluas 11 hektar ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Olak Lempit Banting hari ini.

Sorotan kes sebelum ini menyaksikan lebih 1,000 pokok kelapa sawit di sini ditebang akibat penanamannya dibuat secara haram di atas tanah kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 11 hektar.

Kawasan hutan simpan itu didakwa sudah pun diceroboh sejak berpuluh tahun lalu dan arahan hadir ke pejabat Jabatan Hutan berhampiran sudah diberikan bagi memberikan maklumat kepada pengusaha supaya menghentikan penanaman sawit.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak berkuasa negeri atau Kerajaan yang terlibat harus bertindak terhadap pihak yang menceroboh tanah tersebut.

“Jika tanah itu milik JPS, pihak JPS yang harus mengambil tindakan undang-undang.

“Kuasa mengambil tindakan undang-undang atas pencerobohan adalah pada pemilik tanah. Kuasa kita hanya memberi lesen untuk menjual hasil kelapa sawit,” katanya.