Kerjasama erat diantara Malaysia dan Iran bakal membuahkan hasil positif apabila negara berkenaan mahu berkongsi kepakaran teknologi nano perindustrian komoditi.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Iran bakal kerjasama berkongsi kepakaran teknologi nano dari negara itu.

“Untuk makluman, Iran adalah negara keempat terbaik dunia dalam menghasilkan teknologi nano dan mengajak Malaysia mengambil manfaat itu khususnya dalam kajian berkaitan sawit dan getah.

“Iran memaklumkan hasratnya untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia kerana memenuhi penggunaan minyak dan lelemak negara berkenaan yang kini mencapai sebanyak 2.2 juta tan setiap tahun.

“Malaysia juga akan menggunakan peluang ini untuk menjadikan Iran sebagai hab pengeksport semula ke negara-negara Timur Tengah yang dianggarkan mencecah penggunaannya sehingga 5.5 juta tan minyak dan lelemak setahun,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Duta Iran Ke Malaysia, TYT Ali Asghar Mohammadi di Putrajaya. Turut hadir Setiausaha Kedua (Seksyen Ekonomi) Encik Javad Bakhshi.

Menurut Khairuddin kunjungan hormat ini adalah susulan pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Perindustrian, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Yazdan Seif di Istanbul, Turki pada 10 Julai 2021 lalu.

Khairuddin berkata mengikut rekod pada tahun 2020, eksport minyak sawit Malaysia dianggarkan berjumlah 320,000 tan. Sehingga Mei 2021 sahaja, sebanyak 238,683 tan minyak sawit dieksport ke negara itu dengan nilai lebih RM970 juta.

“Justeru, Iran telah menunjukkan komitmen tinggi dengan kesediaan mereka untuk mengimport sehingga 1 juta tan minyak sawit Malaysia.

“Seperti yang sedia maklum bahawa potensi eksport ke Iran amatlah baik dan Kementerian saya melalui agensi berkaitan sedang merangka strategi bagi memenuhi permintaan tersebut.

“Selain itu, Malaysia juga turut bakal menjalin kerjasama dengan Iran dalam usaha meningkatkan industri halal di negara itu, kerana Iran amat menghormati industri halal Malaysia sebagai yang terbaik di dunia. Untuk itu.

Tamat