Siapa sangka, industri pengkomersialan teknologi sawit yang melalui kajian Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mampu menjana pendapatan bernilai lebih RM 5 billion.

Memetik kenyataan daripada Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, Sehingga kini, MPOB telah memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan kepada pihak industri dan usahawan tempatan. Daripada jumlah itu, sebanyak 221 atau 31.17 peratus teknologi dan inovasi MPOB telah berjaya dikomersialkan termasuk dalam kalangan usahawan kecil sederhana.

“Teknologi MPOB yang sedia ada untuk dikomersialkan pula meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik kawalan penyakit dan serangga perosak, kejenteraan ladang, teknologi pengilangan dan formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

“Teknologi baharu merangkumi teknologi kawalan penyakit tanaman sawit, penghasilan produk biojisim sawit bagi rawatan efluen kilang kelapa sawit dan kejenteraan ladang bagi pengangkutan buah tandan segar,” katanya.

Menurutnya sawit itu, adalah anugerah Tuhan, daripada buahnya dijadikan minyak, daun dan batang hampas mampu dijadikan makanan ruminan, seluruh pokoknya mampu menjana ekonomi pekebun kecil, peladang, syarikat serta negara untuk dieksport ke luar.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata teknologi MPOB yang ditawarkan untuk tujuan pengkomersialan dikategorikan kepada tiga bahagian utama iaitu sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

“Ini merangkumi teknologi di peringkat perladangan meliputi pengeluaran bahan tanaman, formulasi baja sawit, teknik-teknik kawalan penyakit dan serangga perosak serta teknologi pengilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk ‘Peluang Pengkomersialan Teknologi Sawit dan Dana Bantuan Kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)’ yang dianjurkan oleh MPOB dan SME Corporation Malaysia (SME Corp), hari ini.

Selain itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB memperkenalkan sebanyak 709 teknologi dan 191 perkhidmatan untuk dikomersialkan oleh pihak industri dan usahawan tempatan setakat Julai 2021.

“Daripada 709 teknologi ini, sebanyak 221 teknologi dan inovasi MPOB telah dikomersialkan yang menyumbangkan kadar pengkomersialan teknologi MPOB kepada 31.17 peratus,” katanya.

Justeru, katanya, kadar itu membuktikan bahawa teknologi yang ditawarkan oleh MPOB berpotensi untuk dikomersialkan dan mampu menyediakan peluang kepada usahawan tempatan, terutama semasa situasi mencabar yang melanda negara pada masa ini.

“Antara produk yang dikomersialkan termasuk pemotong bermotor, biodiesel, komponen automotif serta baja MPOB F1-F6,” katanya.

Tamat