“Hanya doa yang kita perlukan kini, selepas semua usaha keras telah dilakukan” ,Itu kata, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas semua semua jalan telah diusahakan bagi membantu penduduk parlimen beliau yang dibelenggu masalah air disebabkan paip rosak.

Menurut beliau, tapak pembaikan paip air yang rosak, berada di dasar Sungai Terengganu, sedalam 18 meter, disebabkan faktor air deras dan bahaya, proses pembaikan mengambil sedikit masa.

“Kita sedaya menyiapkan proses pembaikan secepat mungkin dan dijangka siap Rabu ini disebabkan terpaksa berhadapan dengan risiko arus sungai yang begitu deras.

“Faktor kedalaman keadaan arus deras tidak membenarkan penyelam untuk bekerja sepanjang masa bagi kerja-kerja pembaikan.

“Selain mahu memberikan yang terbaik, faktor risiko juga perlu diambil bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika turun melihat serta membantu proses penghantaran air kepada rakyat Kuala Nerus.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu, SATU, Burhanuddin Helmi Mohamed@Harun.

Khairuddin berkata, bagi memudahkan proses pengangkutan dan penghantaran air ke setiap lokasi, pihaknya menggunakan kaedah sistem tersendiri selain ianya mampu mengelakkan berlakunya perhimpunan orang ramai.

“Kita bakal menambah kapasiti tangki statik yang ada sekarang. Setakat ini pihak saya sudah bekalkan 80 unit tangki berkenaan untuk Kuala Nerus, dan saya minta lagi tambahan sebanyak 40 unit bagi melancarkan proses penghantaran air.

“Pada masa sama saya turut meminta untuk menambah tangki yang ‘mobile’ melalui ‘pick up’ dan lori yang sedang bergerak sekarang. Kesemua peruntukan kini sekitar RM 400,000 bagi memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih.

“Sistem ini menjadikan tangki kecil digunakan untuk menghantar bekalan. Kita juga menyediakan dua ‘tanker’ besar berkapasiti 40,000 liter setiap satu, sebagai sokongan kepada sistem diguna pakai sedia ada,” katanya.

Sementara itu itu, beliau berkata, sistem yang digunapakai dalam kaedah bantuan ini ialah dengan cara bergerak hantar rumah ke rumah.

“Melalui kaedah ini dapat mengelakkan mereka berkumpul di sesuatu tempat sekali gus mengelakkan berlakunya penyebaran pendamik COVID 19.

“Kita tak mahu rakyat keluar mengambil air, dan mengalami kesesakan oleh itu, jalan terbaik Kita hantar bekalan air, pada masa sama dapat menjaga SOP kawalan kendiri,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan tahniah kepada SATU yang sentiasa berkerja keras dalam usaha membaiki membekalkan air bersih kepada rakyat.