Sejak Isnin lalu, paip bekalan air Sungai Terengganu dilaporkan telah pecah dan menyebabkan sebanyak 28, 700 kediaman mengalami masalah bekalan air.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengambil langkah awal turun ke lokasi dan berkerjasama dengan pihak Malaysian Rubber Council (MRC) bagi mengangani masalah berkenaan sementara kerja baik pulih paip di dasar Sungai Terengganu dijalankan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU).

“Melalui usaha ini saya mengambil langkah mendapatkan bantuan daripada MRC yang sedia menghulurkan bantuan terutamanya melalui misi Tanggungjawab Sosial Korporat kepada mereka yang berdepan dengan masalah bekalan air,”.

“Alhamdulillah, MRC sudi berkerjasama dengan memberikan bantuan tertentu buat rakyat yang kini memerlukan bantuan air sementara paip utama dapat dibaik pulih,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata beliau telah dihubungi oleh Dr Khairuddin bagi bekerjasama dalam membantu krisis air berlaku Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Kami di pihak MRC telah bersetuju untuk menghantar bekalan air melalui 2 buah lori tanker 40,000L, 25 tangki statik dan 25 pam bagi memudahkan proses pembahagian air.

“Oleh itu dua buah lori tanker ini juga akan terus disewa dan berada di kawasan Parlimen Kuala Nerus untuk terus membantu membekalkan air dari punca air terawat yang terdekat buat mereka yang terjejas.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali Menteri MPIC, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim Adun Tepoh, YB Ustaz Ridzuan Bin Hashim Adun Buloh Gading dan Haji Mohd Fazil Wahab Penyelaras Dun Seberang Takir yang membantu pihak MRC dalam menyalurkan bantuan” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada En Burhanuddin Hilmi Harun Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated atas kerjasama dari pihak SATU dalam melaksanakan program ini.

Tamat