Sebanyak RM2.29 juta disumbangkan oleh Majlis Getah Malaysia (MRC), dan Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi (KPKK) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata jumlah berkenaan adalah diperlukan bagi membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika ini.

“Daripada jumlah itu, RM1.5 juta diperuntukkan untuk pembelian 10 unit ventilator kepada hospital terpilih.

“Bantuan berkenaan tersebut adalah melalui Program Bantuan Prihatin kepada institusi kesihatan, dengan sokongan daripada MRC menerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

“Sumbangan dibuat kepada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat
Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 (PKRC) dan juga
hospital-hospital serta pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih di
seluruh negara,” katanya ketika ditemui di sidang akhbar di Hospital Kajang pada Isnin selepas penyerahan dana berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusof dan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Menurut beliau, sebanyak RM290,000 disalurkan kepada (CAC) serta Pusat Kuarantin dan (PKRC) untuk penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan bukan perubatan seperti komputer riba,” katanya.

Khairuddin berkata, antara lokasi-lokasi yang terpilih adalah CAC di Seremban, dan Sandakan, PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang; PPV di Terengganu, Melaka, Kedah, Kelantan
dan Selangor serta hospital-hospital di Lembah Klang iaitu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Selayang serta Hospital Kajang katanya.

Tamat