Nilai eksport getah terus melonjak naik apabila meningkat sebanyak 150 peratus kepada RM 44.43 bilion untuk enam bulan pertama 2021 berbanding RM 17.77 billion tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata dalam satu kenyataannya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, produk getah Malaysia mencipta sejarah baharu apabila nilai eksportnya mencecah RM40.96 bilion tahun lalu, paras tertinggi baharu hasil manfaat yang dicetuskan oleh penularan COVID-19.

“COVID-19 memberi impak lebih positif kepada sektor getah Malaysia apabila nilai eksport melonjak 75.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Prestasi kukuh ini disumbangkan melalui lonjakan eksport barangan berasaskan susu getah yang merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun 95.3 peratus tahun lalu.

Justeru, sarung tangan getah sahaja menyumbang 86 peratus kepada eksport produk getah Malaysia. Industri sarung tangan menyumbang RM35.3 bilion daripada pendapatan eksport 2020, meningkat dua kali ganda atau 103 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nurul Islam Mohammed Yusoff, berkata peningkatan prestasi eksport produk getah negara majoritinya disumbangkan oleh peningkatan kukuh sektor barangan berasaskan susu getah terutama produk sarung tangan perubatan sekitar 89.7 peratus, melonjak sebanyak 180.2 peratus.

“Melalui analisis sebelum ini produk berasaskan susu getah seperti sarung tangan getah, tiub getah dan kondom mencatatkan peningkatan 200.1 peratus disebabkan oleh pandemik COVID-19.

“Pada separuh pertama 2021, produk susu getah menyumbang 93.9 peratus daripada eksport produk getah manakala bakinya oleh produk getah kering sebanyak 6.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain sarung tangan getah bagi perubatan, subsektor sarung tangan lain juga meningkat hingga tiga kali ganda atau 210.2 peratus kepada RM36.54 bilion pada tempoh dikaji.

“Sektor produk getah kering juga pulih dengan pertumbuhan luar biasa sebanyak 38.2 peratus kepada RM2.41 bilion berbanding RM1.75 bilion pada separuh pertama 2020. Sektor produk getah kering merangkumi tayar, barang getah industri, barang getah am dan kasut.

“Tayar, eksport terbesar dalam produk getah kering meningkat 43.2 peratus kepada RM840 juta sementara eksport barangan getah industri yang merangkumi produk untuk automotif, perlombongan dan pembinaan meningkat sebanyak 44.2 peratus kepada RM610 juta,” katanya.

Nurul Islam berkata, bergerak ke hadapan, permintaan produk sarung tangan getah diunjurkan kekal kukuh.

Beliau berkata, ancaman COVID-19 akan tetap berlaku ditambah dengan kemunculan varian baru yang pelbagai ketika ini.

Katanya, keberkesanan kesan vaksinasi bagi mengurangkan kes jangkitan juga ketika ini masih tidak dapat dipastikan sepenuhnya oleh kebanyakan negara termasuk Eropah.

“MRC menganggarkan permintaan global bagi produk sarung tangan getah kekal tumbuh dua angka antara 12 peratus hingga 15 peratus tahun ini.

“Penggunaan sarung tangan getah global perkapita dijangka meningkat kepada 25 pasang pada 2021 disebabkan oleh penggunaan yang lebih tinggi di pasaran eksport utama Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah serta pasaran lain di Asia.

“Industri sarung tangan getah negara akan mengekalkan momentum positifnya dan eksport dijangka mencapai tahap tertinggi baharu tahun ini,” katanya.

Tamat.