Hanya memasuki suku kedua, KPPK berjaya mencatatkan nilai eksport agrokomiditi sebanyak 65 % yang bernilai RM 105 billion pada tahun ini berbanding hanya RM 64 billion tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata ini membuktikan bahawa pasaran sawit getah adalah sektor komoditi utama negara yang menyumbang kepada angka berkenaan.

“Walaupun sektor komoditi lain berdepan dengan ketidaktentuan pasaran akibat pendemik COVID-19, namun sawit dan getah tetap merupakan hasil utama penyumbang kepada negara.

“Sasaran awal eksport sawit bernilai RM75 bilion tahun ini mampu dicapai susulan prestasi yang memberangsangkan, walaupun negara masih berdepan masalah kekurangan pekerja di ladang akibat pendemik COVID-19.

“Produk berasaskan sawit menyumbang 43 peratus daripada jumlah eksport barang agrikomoditi, iaitu peningkatan kepada RM46 bilion, berbanding RM33 bilion dicatat bagi tempoh sama, tahun sebelumnya.

“Namun, kuantiti eksportnya mencatatkan penurunan lima peratus kepada 11.5 juta tan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan serahan sumbangan bernilai RM270,000 oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Hadir sama turut, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Pengarah PKRC MAEPS, Dr Sahabuddin Ibrahim.

Menurut beliau angka lonjakan itu, pada masa sama turut disumbangkan oleh peningkatan dicatatkan bagi produk getah, berasaskan kayu-kayan, eksport produk koko dan produk lada.

Mengenai produk getah, Mohd Khairuddin berkata, ia menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan nilai eksport barang agrikomoditi, iaitu peningkatan 150 peratus kepada RM44 bilion, berbanding RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Walaupun dihimpit pandemik COVID-19, namun nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion, berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama, pada 2020.

“Sarung tangan getah kebanyakannya bagi kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion, berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020.

“Malaysia juga muncul negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan,” katanya.

Menurutnya, produk berasaskan kayu-kayan pula menyumbang 11 peratus kepada eksport barang agrikomoditi, membabitkan peningkatan 21 peratus nilai eksportnya kepada RM12 bilion, berbanding RM10 bilion pada tempoh sama, tahun lalu.

“Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan tujuh peratus kepada RM3.4 bilion berbanding RM3.1 bilion, tahun sebelumnya.

“Senario ini turut membabitkan produk lada yang meningkat 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020,” katanya.

Tamat