Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkuat kuasa serta merta.

Berkenaan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan melantik Muhyiddin untuk menjadi ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini selaras Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Yang di-Pertuan Agong juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,” kata kenyataan berkenaan.

“Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 11 Ogos lalu daripada 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

“Pada masa sama, baginda turut mengambil maklum fasiliti kesihatan negara juga dalam situasi membimbangkan, justeru pada hemat baginda pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Mengambil maklum hal demikian, baginda juga menzahirkan harapan supaya kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan dan sudah mengganggu kelancaran tadbir urus negara dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam pandemik Covid-19.

“Baginda mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat supaya bertenang dan bersama baginda mendoakan negara di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Tamat