Ramai peladang dan petani sawit kini berterima kasih kepada Mantan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang giat mengangkat martabat industri lelemak tempatan ini.

Dato’Dr Khairuddin Aman Razali

Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi berkata, industri sawit negara mengekalkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam pasaran minyak sayuran dan lelemak dunia.

Ini dapat dibuktikan melalui hasil kutipan duti eksport minyak sawit mentah (MSM) melonjak lima kali ganda kepada RM564.82 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding RM11 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

KPPK menerusi berkata, lonjakan ketara hasil kutipan duti eksport itu disokong peningkatan harga MSM serta penambahan produk sawit.

“Selain itu, kutipan Levi Keuntungan Luar Biasa (WPL) dianggarkan sebanyak RM950 juta bagi tahun ini berbanding hanya RM165 juta pada 2020.

“la berikutan kenaikan harga MSM yang melebihi RM3,500 satu tan dari Januari hingga Mei 2021 dan anggaran harga MSM melebihi RM2,500 satu tan sehingga Disember 2021,” katanya.

Menurut kenyataan berkenaan, Malaysia, telah mengeksport sebanyak 17.40 juta tan MSM atau 18.3 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport minyak sayuran dan lelemak dunia tahun lalu.

“Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara juga telah meningkat kepada RM73.25 bilion tahun lalu berbanding RM67.55 bilion pada tahun 2019.

“Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 bernilai RM48.31 bilion atau mewakili 56.8 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.

“KPPK percaya, kedudukan Malaysia tidak akan tergugat pada tahun ini apabila sehingga suku kedua 2021, produk berasaskan sawit yang menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 43 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM46 bilion berbanding RM33 bilion tahun lalu,” katanya.

Melalui hasil kerja keras rundingan Dr Khairuddin sebelum, peningkatan harga MSM dirasai semua kelompok masyarakat dan meminimumkan kesan negatif, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisme untuk memastikan kebaikan kenaikan harga berkenaan dalam pasaran dunia dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

Sebagai contoh, wujudnya harga siling, melalui satu mekanisme khas untuk mengatasi isu kenaikan harga minyak tidak bersubsidi.

“Peningkatan harga MSM ini dilihat memberi lebih kesan positif kepada masyarakat.

“Secara prinsipnya, setiap kenaikan harga MSM di pasaran dunia akan memberi kesan ekonomi secara berangkai seperti pertambahan pendapatan negara, pendapatan pekebun kecil sawit bertambah dan kenaikan harga runcit minyak masak,” katanya.

KPPK berkata, sektor agrikomoditi khususnya subsektor sawit terus memainkan peranan menyumbang kepada unjuran ekonomi yang lebih positif sepanjang tahun ini serta memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kepada lebih 500,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara.

“Kenaikan harga MSM memberi kesan positif kepada pekebun kecil sawit. Pendapatan tahunan kasar hasil jualan sawit pada tahun 2020 di Semenanjung Malaysia dianggarkan sebanyak RM9,570 satu hektar.

“Manakala, di Sabah dan Sarawak masing-masing menjana hasil jualan sebanyak RM7,756 dan RM7,650 satu hektar,” katanya.

Tamat