Gunung Jerai bagaikan dilanda garuda apabila kejadian kepala air menimpa pekan-pekan di sekitarnya Yan, Gurun, Dan Merbok.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banjir itu bermula akibat limpahan kepala air juga melibatkan kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran Sungai Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

“Banjir berpunca hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai dan air mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi, Sungai Puteri Mandi sekitar jam 5.30 petang,” katanya mengesahkan perkara itu dalam satu taklimat di Pejabat Daerah Yan di sini pada malam Rabu.

Selain itu, Pekan Yan juga dilanda banjir kilat berikutan lokasinya yang terletak berhampiran tepi laut dan proses air pasang menyebabkan air sungai tidak dapat turun ke laut.

Pada masa sama, Kerajaan negeri memaklumkan tiada sebarang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai berikutan kawasan itu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.

Sanusi berkata, sebagaimana sedia maklum, berlaku musibah banjir kilat petang tadi di kawasan persekitaran Hutan Simpan Gunung Jerai.

“Untuk makluman, tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Gunung Jerai kerana hutan simpan itu diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

“Fenomena kepala air yang terlalu kuat menyebabkan pokok sekitar hutan simpan turut dibawa arus deras sehingga ke sungai,” katanya.

Sementara itu, mayat seorang lelaki ditemui selepas terperangkap dalam fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai di sini pada petang tadi.

Walaubagaimanapun identiti lelaki berusia 60 tahun itu belum dikenal pasti dan pihak berwajib sedang menjalankan proses pengecaman.

Selain itu, katanya, seorang mangsa dilaporkan masih hilang, manakala dua telah ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai.

Menurut sumber seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam kejadian rumah runtuh di Chalet Salak Denai dan ada mangsa terperangkap di atas bumbung di Kampung Setoi.

Menurutnya, anggaran mangsa terlibat masih dalam siasatan, namun maklumat awal setakat ini seramai 60 orang yang perlu dipindahkan segera ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan dan Sekolah Kebangsaan Teroi.

Tambah beliau, mangsa akan dibahagikan kepada tiga kategori di pusat pemindahan termasuk positif Covid-19, individu dikuarantin serta penduduk biasa.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda yang juga Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, setakat jam 9 malam Rabu, dua PPS dibuka bagi menempatkan mangsa.

Beliau berkata, penduduk terlibat dipindahkan selepas hujan lebat lebih satu jam di kawasan Sungai Merbok dan sekitar Tadahan Air Tupah, Gunung Jerai mengakibatkan limpahan air banjir.

“Setakat ini, seramai 20 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di Surau Taman Gurun Jaya dan 34 mangsa lagi dari tujuh keluarga ditempatkan di sebuah rumah di Kampung Sungai Badak 3,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, paras air naik sekitar 1.5 meter di kawasan berkenaan namun trend air menunjukkan ia makin surut dan hujan renyai.

Tamat