Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Baginda bertitah, istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangi Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijalankan esok, jam 2.30 petang

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata pelantikan itu selepas baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Baginda berkata selaku Ketua Utama Negara menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara.

Baginda berharap kemelut politik dapat diakhiri segera dan semua Ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19, demi kepentingan rakyat dan negara.

Tamat