Semua infrastuktur terjejas akibat tragedi kepala air di Yan dan Merbok bakal dibaik pulih Dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata proses yang dimulakan adalah pembersihan saliran, pembaikan jalan dan kemudahan serta baik pulih jambatan yang menjadi laluan utama.

Walaubagaimanapun, semua kerja baik pulih terbabit sedang dilaksana dan dijangka mengambil sedikit masa sebelum keadaan di kawasan dilanda banjir dapat kembali pulih seperti biasa.

“Semalam, kita sudah berbincang bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang yang bersetuju meluluskan kerja pembaikan di bawah belanja kecemasan berjumlah RM5 juta.null

“Turut dicadangkan adalah kerja menaik taraf dan meninggikan Jambatan Sungai Tupah bagi membolehkan aliran air dari Gunung Jerai bergerak lancar dan mengelak banjir.

“Terdapat dua jambatan di Sungai Tupah didapati perlu dinaik taraf membabitkan kos kira-kira RM20 juta setiap satu, tetapi ia mungkin akan mengambil masa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum itu, Muhammad Sanusi meninjau keadaan Jambatan Sungai Tupah yang rosak akibat dihentam pokok balak hanyut dan melawat mangsa banjir di Taman Lembah Merbok.

Muhammad Sanusi berkata, satu lagi projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) turut akan dibina di Sungai Tupah bagi menakung air dari Gunung Jerai yang boleh diguna ketika musim kemarau.

“Gunung Jerai mempunyai banyak sumber air, malah kawasan Merbok juga bergantung kepada bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Tupah sebagai sumber utama.

“TAPS baharu ini mungkin dibina lebih besar bagi menampung sumber air Gunung Jerai dan boleh diguna penduduk sementara menunggu LRA Bukit Selambau siap,” katanya.

Mengulas masalah penduduk di sekitar Merbok yang terputus bekalan air, pihaknya sudah meminta bantuan Bomba Sukarela mengepam air Sungai Tupah ke dalam tangki statik untuk kegunaan orang ramai buat sementara.

“Semalam Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah menghantar 15 lori tangki air bagi diguna penduduk mencuci rumah dan kita akan bantu membekalkan mereka perkakas menyimpan air.

“Harapan kita ketika ini agar hujan tidak lagi tertumpu di Gunung Jerai selepas taburan hujan pada Rabu lalu yang menyebabkan kepala air menyamai 10 peratus jumlah hujan tahunan Kedah,” katanya.

Tamat