Satu saranan daripada Institut Geologi Malaysia (IGM) bagi menjalankan kajian bencana geologi secara menyeluruh perlu dilakukan Di Gunung Jerai oleh ahli geologi bebas perbagai bidang kepakaran.

Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata, pihaknya berpendapat kajian Pengurusan risiko, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua lokasi produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara.

“Kajian juga disyorkan bersifat ‘transdisciplinary’ dalam memahami kesan perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana geologi di masa hadapan.

“Kajian sebegini masih belum lagi dilakukan secara terperinci dan memerlukan komitmen pelbagai pihak,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Ini disebabkan berlakunya tragedi kepala air di Geopark Kebangsaan Gunung Jerai yang memberikan impak terhadap kawasan di kaki gunung dan kawasan berhampiran sungai iaitu Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Keras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.

Antara penyebab tercetusnya kejadian itu disebabkan kadar hujan yang lebat berterusan selama beberapa hari.

Menurutnya kesedaran terhadap risiko bencana geologi harus difahami sebaiknya oleh masyarakat, malah ketika ancaman bencana berganda.

Menurutnya, bencana geologi dan berkaitan geologi sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya sekiranya ada pelan pengurusan awal.

“Kajian terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurangan risiko bencana selari dengan amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam ‘Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030’ oleh ‘United Nations Office for Disaster Risk Reduction’ (UNDRR),” jelasnya.

Abd Rasid menambah, pihaknya difahamkan satu pasukan penyiasat akan dihantar oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ke tempat kajian untuk memantau dan membuat kajian awal.

“Sementara laporan kajian dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut, IGM menyeru ahli-ahli geologi supaya tidak terlalu ghairah mengeluarkan pandangan berbentuk spekulatif dan provokasi tanpa berdasarkan data, bukti-bukti sains dan fakta yang lengkap terutamanya data cerapan lapangan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains, memahami tahap keterancaman setempat dan mencari solusi yang bersifat jangka masa panjang berasaskan maklumat geologi yang lengkap, tepat dan komprehensif.

Tamat