Setiap keluarga yang terkesan dengan banjir akibat fenomena kepala air Rabu lalu di Gunung Jerai bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM 500.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata bantuan berkenaan adalah hasil keputusan kerajaan negeri selepas mengadakan perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), malam tadi.

Menurut beliau, bantuan berkenaan adalah bagi meringankan beban dan membantu penduduk dalam kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan selepas banjir yang membawa lumpur.

“Berdasarkan laporan awal, kita dimaklumkan jumlah rumah yang terjejas dalam tragedi ini dianggarkan 800 di Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda.

“Bagi keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat tragedi ini, kerajaan akan menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Menteri Besar itu berkata segala urusan pendaftaran rumah yang terjejas untuk menerima bantuan ini akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Sebagai langkah awal, keluarga terbabit dinasihat membuat laporan polis dan mendaftarkan nama serta maklumat diri di pejabat daerah masing-masing.

“Bagi bantuan membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan, ia masih dalam perbincangan lanjut,” katanya.

Tamat