“Ia adalah satu amanah, kita cuba untuk buat yang terbaik untuk negara,” itu adalah kata mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan amanat terakhirnya buat pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) di pejabatnya, di sini.

Menurutnya beliau berkata, beliau istiqamah untuk menolak unsur penyelewengan seperti rasuah dan merompak duit rakyat supaya pemerintahnya adalah bersih tanpa sebarang anasir kotor.

“Soal rasuah tak boleh (toleransi), sebab hukumnya haram, begitu juga orang yang merompak. Sebab itu saya tegak berdiri, istiqamah atas dasar prinsip undang-undang dan hukum. Tapi ramai juga yang lupa, kerana itu saya sanggup bercakap apa yang benar, walaupun pahit.

“Saya tak ada sebarang rahsia di dalam laci, surat rahsia, tidak ada. Sebab saya tahu saya tak patut buat perkara yang salah. Jadi inilah kehidupan, apa yang berada di atas, boleh turun ke bawah, tetapi apa yang berada di bawah, Insya-Allah akan kembali semula,” katanya ketika menemui Pegawai Jabatan Perdana Menteri semalam.

Menurut Muhyiddin, beliau telah melakukan terbaik buat semua rakyat serta negara dalam tempoh paling singkat, tugas yang dipikulnya agak luar biasa kerana perlu berperang dengan pandemik COVID-19.

“Saya mungkin Perdana Menteri paling pendek memegang jawatan, tetapi saya kira telah buat apa yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan nyawa, rakyat jelata, tentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.”

“Dalam setahun atau lebih 17 bulan ini tugas dan tanggungjawab yang saya terpaksa pikul agak luar biasa, ia tempoh yang amat sukar dan belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin pada masa sama turut menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan pimpinannya gagal menangani penularan Covid-19

“Pada saya, apa yang diperkatakan orang ramai bahawa (kerajaan) tidak melakukan perkara yang sepatutnya adalah salah. Jemaah Menteri yang saya bentuk, kita siang malam (uruskan) Covid-19, siang malam, pagi subuh tengok data.

“Lockdown tak berhenti sampai sekarang kerana kita terpaksa buat begitu. Ada pihak kata ia tidak berapa berkesan tapi ia banyak selamatkan nyawa orang ramai.

“Jadi semalam, saya putuskan untuk kali terakhir, bagi membuka lebih banyak sektor dan ia akan berterusan hingga akhir tahun, semua sektor ekonomi boleh dibuka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, peletakan jawatannya bukan bermakna perjuangan untuk rakyat berakhir begitu sahaja, beliau tidak menolak kemungkinan akan kembali menerajui kepimpinan negara.

“Nasihat saya, perjalanan kita ini, laluan sahaja untuk sampai ke jannatun naim, jadi pertimbangan kita bukan duniawi. Sebab itu bagi saya hilang jawatan PM itu duniawi, saya tak boleh bawa ke mana pun,” katanya.

Tamat