Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera, telah selesai mengangkat sumpah bagi jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada istiadat bersejarah itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

Peristiwa bersejarah di Istana Negara hari ini sekali gus memuktamadkan polemik berkenaan seterusnya mendaulatkan sistem pentadbiran Malaysia sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan.

Tamat