Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengharapkan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengutamakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut legasi pemerintahan sebelum ini.

Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, antaranya melibatkan program libat urus bersama rakan pemimpin bagi mewujudkan kestabilan politik dan meningkatkan ekonomi negara seperti mana yang dijana oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah, ALLAH SWT masih lagi beri peluang PN terajui kerajaan Malaysia dan saya pasti fokus yang akan diteruskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telahpun rancak dilaksanakan mengikut fasanya dan kesinambungan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bahawa kita antara yang terpantas di dunia.

“Perkara-perkara seperti ini perlu kita teruskan untuk kita capai kestabilan politik dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi seterusnya memberi ketenangan kepada rakyat.

“Semua ahli politik juga perlu bersama-sama membantu kerajaan untuk menguruskan pandemik COVID-19 bagi membentuk imuniti berkelompok secepat mungkin, menjaga nyawa rakyat berbanding kepentingan politik masing-masing,” katanya ketika ditemui di di Dewan Serbaguna Masjid Al-Wustho Guar Chempedak hari ini.

Katanya, dengan komitmen berterusan diharapkan imuniti kelompok rakyat negara ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Pas yakin setiap parti dalam gabungan PN akan diberi peluang membarisi kepimpinan kabinet baharu bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu.

“Saya yakin semua ada dalam perancangan beliau dan ia akan dilakukan secara musyawarah. Kami pun akan bincang di peringkat parti masing-masing dan nama-nama akan kita angkat dalam perbincangan,” katanya.

Katanya, seramai 401 tenaga kerja dari PAS turut digerakkan bagi membantu penduduk di Yan dan Kuala Muda .

Sumbangan RM10,000 juga kata beliau telah diserahkan bagi tujuan penyediaan barangan keperluan lain termasuklah dapur gas, tong gas, periuk nasi elektrik, pinggan mangkuk, tilam, bantal dan cadar.