Hanya perasaan syukur dapat digambarkan apabila jenazah bapa mentuanya ditemui dengan baik semalam satu kilometer lokasi rumah mangsa.

Perkataan Alhamdulillah itu hanya terbit dari mulut, menantunya Yusuf Ali 65, yang juga pengasas Chalet Salak Denai ketika diziarahi oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS , Dato’Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam.

“Alhamdulillah, saya agak terkesima melihat tubuh bapa mentua saya masih lagi elok tanpa sebarang kesan lebam walaupun dijumpai di bawah timbunan kayu balak lebih kurang jam 3.30 petang.

“Ini semua kuasa Allah Taala, yang menjanjikan keadaan kematian yang baik kepada mereka yang dikehendakinya,” katanya semalam kepada Dr Khairuddin semasa ziarah mangsa tragedi kepala air di Yan, Kedah.

Keadaan Rumah Haji Yusuf Yang Dihempap Balak

Dr Khairuddin berkata, peristiwa begini patut dijadikan contoh tauladan kepada generasi muda, supaya mengambil iktibar daripada setiap apa yang berlaku.

“Allahyarham Ku Shuib Ku Abdullah yang merupakan mangsa ke 5 yang hilang dan telah ditemui mayatnya. Allahyarham merupakan mantan imam Masjid Yan dan berumur 91 tahun. Semoga roh Allahyarham bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Hj. Yusof merupakan seorang yang kuat dan kental jiwanya menghadapi situasi bencana yang melanda keluarga beliau. Saya menyampaikan ucapan takziah kepada beliau sekeluarga atas pemergian ayah mertua, Allahyarham Ku Shuib Ku Abdullah”.

“Kejadian yang berlaku sangat tidak diduga, mengikut penceritaan Haji Yusuf, sungai kecil itu, terpecah dua, sebelum datang aliran air deras, membawa kayu balak menghempap dinding rumahnya sehingga pecah dan menghayutkan arwah bapa mentuanya” katanya.

Keadaan kereta yang dijumpai selepas kejadian kepala air

Menurutnya itu antara detik-detik cemas yang diceritakan kepada beliau kerana keadaan air yang kuat merubah laluan air, serta mencipta aliran sungai yang baru katanya.

Sementara itu Dr Khairuddin turut melawat lokasi chalet-chalet usahawan tempatan yang kebanyakkanya hancur melalui tragedi kepala air itu.

Ustaz Mohd Azam menunjukkan Chalet Alang Kenari yang ditimbun pokok balak.

“Saya turut bersama Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, saya dibawa meninjau kawasan sungai di kaki gunung Jerai yang dipenuhi dengan batang-batang pokok besar yang terbongkah akarnya lalu hanyut beserta kepala air dari gunung.

“Memang sangat besar dan kuat kepala air yang melanda mukim Yan ini. Moga Allah gantikan yang terbaik kepada mereka yang ditimpa musibah kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda akibat kepala air ini” katanya.

Tamat