YAN: Senarai anggota Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memaklumkan, perbincangan mengenai pembentukan Jemaah Menteri sedang dilakukan sebelum senarai anggota Kabinet dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Oleh itu, beliau berharap orang ramai tidak mempercayai senarai nama menteri yang tular di media sosial berikutan senarai itu dalam proses dimuktamadkan.

“Sekiranya saya umum hari ini, tidak ada kejutan, saya akan umum selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Senarai belum ada, jangan percaya sebab saya lihat setiap hari ada keluar senarai baharu, tetapi itu semua tidak betul,” katanya pada sidang media di Masjid Jame’ Badlishah, di Yan, Kedah sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau sedang mempertimbang senarai nama Ahli Parlimen yang dicadang semua parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) termasuk bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Mengenai Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak, saya akan pertimbang semua sebelum putuskan siapa jadi menteri, kita lihat secara keseluruhan dan ambil kira kepentingan semua pihak.

“Mengenai nama kerajaan ini, kita guna Kerajaan Malaysia sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai soalan yang ditanya wartawan kemungkinan Ahli Parlimen pembangkang dilantik ke dalam Kabinet, beliau menegaskan perkara itu tidak akan berlaku berikutan tiada kerajaan perpaduan dibentuk ketika ini.

“Mereka tidak ada dalam Kabinet, tidak ada kerajaan perpaduan yang membabitkan parti pembangkang tetapi kita boleh bekerjasama dan pandangan mereka boleh diberi dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) khususnya bagi pemulihan ekonomi.

“Saya juga berterima kasih kepada pembangkang yang memberi reaksi menggalakkan untuk berbincang, jadi saya akan berjumpa mereka bagi melihat apa peranan mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, di sini, hari ini.

Tamat