Melihat kepada apa yang berlaku saban waktu ini, sepanjang tempoh pendemik COVID 19 selama dua tahun, kerjasama rakyat Malaysia semakin utuh diantara satu sama lain.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama ini turut direalitikan sepanjang tempoh bantuan krisis air di Kuala Nerus, yang paling baru ialah tragedi kejadian kepala air di Yan, Kedah.

“Melalui penelitian yang dibuat agenda Keluarga Malaysia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi segala situasi. Sistem Keluarga Malaysia juga menuntut muafakat dan sepakat serta perpaduan semua pihak untuk saling berganding bahu ibarat dicubit peha kanan peha kiri terasa juga.

“Saya mengikuti ucapan sulung yang sangat menarik oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi. Pendekatan baru “Keluarga Malaysia” merujuk kepada pemimpin dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang beliau kemukakan sangat tepat pada masanya di saat krisis politik, pandemik kesihatan serta gelora ekonomi sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Melalui pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia, nyatalah betapa pentingnya seluruh rakyat Malaysia terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya melalui laman Facebook rasmi beliau semalam.

Menurutnya atas ikatan dan kerjasama erat ini, negara serta rakyat telahpun mengharungi berbagai rintangan sepanjang tempoh paling getir ini, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Ikatan nilai kekeluargaan amat penting dalam suasana getir ketika ini untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara. Jangan kita biarkan anasir-anasir jahat yang sengaja mahu merosakkan nilai ini dalam negara kita.

“Oleh saya menegaskan kebersamaan dengan kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan muafakat rakyat ini. Semua pihak juga diseru bersatu kembali melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Dalam usaha mendapat rahmat Allah Taala, Ayuh kita bersama menjadikan negara yang kita cintai ini lebih baik dan diredhai oleh Allah SWT. Justeru, saranan kerjasama rentas parti yang turut ditawarkan oleh beliau kepada parti pembangkang melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 sangat wajar disahut oleh pembangkang,” katanya.

Tamat