Pihak polis telahpun menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5 petang tadi menemui mangsa keenam yang hilang semasa tragedi kepala air di Gunung Jerai tadi.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat keenam itu dikenali sebagai Ridwan Poniman, 61, yang ditemukan di bawah timbunan kayu di kawasan air terjun Titi Hayun pada jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, mayat Ridwan ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Seperti yang kita jangkakan berdasarkan petunjuk selepas penemuan mangsa kelima semalam (Ahad), mangsa hari ini juga ditemui di bawah timbunan kayu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Yan untuk pengecaman waris,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini pada Isnin.

Menurutnya, walaupun operasi SAR telah ditamatkan namun pihak polis masih menutup laluan ke Titi Hayun untuk keselamatan orang ramai.

“Kawasan itu masih diklasifikasikan sebagai kawasan bencana dan sekarang ini kerja-kerja mengeluarkan kenderaan berat sedang dilakukan setelah operasi SAR ditamatkan pada Isnin,” katanya.

Dalam kejadian pada Rabu, tragedi berkenaan telah mengorbankan enam mangsa selain turut menyebabkan kerosakan rumah penduduk di sekitar Yan dan Merbok.

Tamat