Sebanyak RM 78 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat bagi melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur di ini dan Merbok yang terjejas akibat tragedi kepala air dan banjir lumpur, Rabu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peruntukan itu termasuk bagi naik taraf sistem saliran air sepanjang 27 kilometer yang memakan kos sekitar RM 5 juta, manakala bakinya RM 23 juta bagi pembinaan dua jambatan baharu dan pembaikan infrastruktur lain terjejas.

“Sebagai langkah pencegah awal bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang kembali, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) merancang membina Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi menghalang pokok tumbang dihanyutkan.

“Selain itu kerajaan bersetuju menaik taraf saliran Loji Rawatan Air (LRA) Gurun dan Tupah bernilai RM2 juta bagi memastikan gangguan bekalan air di Merbok dapat diselesaikan.

“Selain itu, sejumlah RM25 juta diperuntuk bagi pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor pelancongan desa, membaiki sistem bekalan air masyarakat dan kerosakan kawasan tanaman padi serta pelbagai infra kecil lain,” katanya pada sidang media di Masjid Jame’ Badlishah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Datuk Ku Rahman Ku Ismail dan Ketua Setiausaha Kasa Datuk Seri Zaini Ujang.

Selain itu, katanya, penilaian terhadap kerugian yang dihadapi mangsa termasuk kawasan sawah akan dilakukan sebelum bantuan dapat disalurkan.

Ismail Sabri berkata, sejumlah RM3 juta juga diperuntuk bagi baik pulih rumah dan kerosakan lain dialami mangsa bencana berkenaan.

“Jadi saya harap peruntukan ini dapat membantu menyelesaikan masalah berlaku di sini dan kita akan minta semua kerja baik pulih dibuat secepat mungkin berikutan penduduk masih berhadapan kesukaran ketika ini.

“Bagi keperluan tambahan lain boleh dimaklumkan kepada Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dan beliau akan memaklumkan kepada Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau pada masa sama, turut mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan juga bersimpati kepada mereka yang terkesan akibat tragedi kepala air ini.

Tamat