Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang turun padang membantu proses pengagihan air kepada penduduk terjejas untuk kali kedua ini.

“Sejak awal pagi lagi, mereka sudah mulakan tugas sebagai sukarelawan bagi membantu menyediakan bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

“Terima kasih sahabat pemuda PAS dan anggota Jabatan Amal yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat,” katanya Di laman Facebook miliknya.

Turut hadir, menyerahkan bantuan, Pengarah Sekretariat Bantuan Air Pemuda PAS Negeri Terengganu yang juga Ketua Pemuda PAS Kuala Nerus; Ustaz Mohd Riduan Abu Bakar, Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu; Tuan Sauji Bin Rashid.

Beliau berharap supaya, Allah SWT permudahkan segala urusan kita semua dan mendapat keberkatanNya.

Pada masa sama seramai enam juruselam profesional diturunkan bagi mengenal pasti punca pengoperasian tidak stabil yang berlaku pada paip di dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan bekalan air di Daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

Melalui pemerhatian berlaku paip bersaiz 1,200mm yang membekalkan air ke Tangki Utama Berangan dari Loji Kepong menyebabkan 28,700 terjejas bekalan

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal pada hari ini.

“Pasukan Teknikal SATU sedang giat menjalankan langkah-langkah pengesanan di dasar sungai untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip tersebut.

“Sebarang penemuan atau perincian kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Kami memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat di ibu Pejabat SATU, sebentar tadi.

Susulan itu, beliau melaporkan bantuan bekalan air melalui lapan lori tangki telah digerakkan hari ini mengikut penjadualan sebelum ini.

“Selain itu, kita telah memohon setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas bagi mengenalpasti lokasi 150 tangki statik yang ditempatkan bagi memastikan bekalan asas tersebut tidak terputus.

Tambahnya, bantuan bekalan air bersih juga akan disalurkan di peringkat DUN dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Dalam memastikan bekalan asas tidak terputus, pihak SATU telah mula menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki bermula hari ini pada jam 12 tengahari ke kawasan yang terjejas.

“Tujuh buah lori tangki digerakkan segera dan akan ditambah dari masa ke semasa. Kedudukan tangki statik dan pengisian air adalah mengikut penjadualan sebelum ini,” katanya lagi.

Tamat