Polis Daerah Ipoh berjaya mengesan dan mengagalkan pengedaran ekstasi yang menggunakan modus operandi baru mencampurkan dadah berkenaan dengan minuman perisa buah-buahan.

Kegiatan jahat itu berjaya dihudu pihak polis dengan tertangkapnya seorang lelaki di sebuah kondominium di Jalan Medan di sini pada Jumaat lalu.

Lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai aktif menjalankan aktiviti menjual dan memproses bahan terlarang berkenaan bagi edaran sekitar bandar raya Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dalam serbuan sekitar jam 11.45 malam itu, polis turut merampas 89 peket minuman perisa buah-buahan yang dicampur dengan serbuk disyaki dadah ekstasi.

Menurutnya, kesemua rampasan dianggarkan seberat 5.67 kilogram bernilai RM187,000 itu dijumpai dalam bungkusan beg plastik dan kotak hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Saga serta pemeriksaan dalam rumah.

“Kondominium terbabit disewa suspek bagi tujuan memproses dan membungkus, hasil siasatan kita mendapati campuran dadah berkenaan dihasilkan bagi tujuan pasaran di pusat-pusat hiburan di sekitar Ipoh.

“Namun oleh kerana pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, suspek berkemungkinan sedang mencari pembeli-pembeli runcit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, polis percaya suspek mempunyai rangkaian sindiket lain dalam menjalankan kegiatan berkenaan.

“Kita dapati suspek mendapatkan bekalan dadah dari luar Perak dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan individu-individu lain yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah itu telah direman selama enam hari sehingga Khamis ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.