Penjawat awam tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana parti politik kerana perlu melaksanakan dasar kerajaan yang memegang pucuk pimpinan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata penjawat awam perlulah menyokong prinsip kerajaan yang memerintah kerana berpegang pada prinsip neutral.

Sebagai penjawat awam hendaklah menggalas amanah dengan perlu memastikan sistem penyampaian sentiasa berada pada tahap maksimum demi manfaat orang ramai dan tidak menjejaskan sebarang urusan.

“Perkara ini bukan suatu yang baharu kerana kita sudah pasti berdasarkan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, setiap lima tahun pasti akan berlaku pilihan raya umum.

“Dari situ kita tahu pasti ada kelompangan memandangkan Kabinet belum ditubuhkan, justeru penjawat awam yang dilantik memainkan peranan sebagai jentera yang memastikan urusan berjalan dengan lancar.

“Secara ringkasnya, penjawat awam adalah nadi kepada perkhidmatan awam dan menjadi platform antara rakyat dan kerajaan dan sebaliknya kerana penjawat awam inilah pendukung dan pelaksana dasar demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam bual bicara stesyen televisyen tempatan pada tadi.

“Mereka ada hak dan kecenderungan masing-masing, tetapi tidak boleh menzahirkannya sebab mereka berkhidmat kepada negara.

“Jadi apabila berlaku pertukaran kerajaan, tidak bermaksud penjawat awam ini semuanya bertukar, sebaliknya mereka perlu melaksanakan semua prosedur seperti sedia kala melainkan terdapat dasar baharu.

“Perlu diingatkan bahawa penjawat awam adalah tunjang pentadbiran negara dan tidak boleh mempunyai kemahuan sendiri berdasarkan ikrar yang sudah dilafazkan mereka,” katanya.

Katanya, dalam keadaan politik ketika ini, tidak ada langsung berlaku pengurangan perkhidmatan sebelum, semasa dan selepas.

“Kita nak yakinkan semua perkhidmatan awam berterusan dan tiada arahan baharu cara bagaimana menyampaikan dasar kerajaan.

“Saya lihat hubungan penjawat awam dengan pimpinan kerajaan adalah profesional dan melengkapi antara satu sama lain. Selepas 64 tahun merdeka dan 14 pilihan raya umum diadakan, ini mematangkan perkhidmatan awam dan kita kekal neutral,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap semua penjawat awam berpegang teguh berkhidmat kepada negara memandangkan sektor ini dekat dengan pemimpin dan rakyat.

“Amanah digalas besar dan tidak boleh mendahulukan kepentingan diri dan peribadi, penjawat awam kekal relevan walau dalam keadaan apa sekali pun,” katanya.

Tamat