Blok pemimpin pembangkang akhirnya bersetuju untuk bekerjasama dalam memperkasakan fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif bagi menyemak serta mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat pada pertemuan jam dua petang tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam erti memahami konsep itu, semua harus bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, persetujuan berkenaan dicapai pada pertemuan lebih satu jam di antara beliau dengan pimpinan pembangkang itu susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.

“Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Baginda Tuanku.

“Pertemuan ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri memaklumkan, hadir pada pertemuan di pejabatnya itu adalah Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR, Dattuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Tamat