Malaysia perlukan satu budaya politik yang matang dalam memacu keperluan rakyat dan kemajuan negara serta urus tadbir berkesan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui posting Facebooknya beliau berkata, pendekatan Pas melalui BPMS dilihat sebagai semak dan imbang oleh pembangkang merupakan budaya politik yang perlu diperkasakan manakala tindakan kerajaan yang boleh diterima rakyat perlu disokong.

“Ianya seiring dengan titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar Ahli-ahli Dewan Rakyat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati berusaha menangani COVID-19. 

“Budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian boleh diterjemahkan dengan penuh professional secara berdiplomasi dengan pihak berkaitan bagi menangani sesuatu isu rakyat dan negara,” katanya melalui laman Facebook rasmi milik beliau.

Menurutnya pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin pembangkang hasil Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), Dimensi baharu politik Malaysia.

“Pas berharap budaya politik matang yang mengutamakan kesejahteraan negara menjadi dimensi baharu bagi sikap, pemikiran dan tindakan daripada ahli politik.

“Mereka menjadi pemimpin yang memberi teladan kepada rakyat,” katanya.

Pertemuan antara PM dan beberapa pemimpin pembangkang pada Rabu tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.

Pas menyambut baik budaya berpolitik yang mengutamakan perdamaian seperti yang ditunjukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pertemuan beliau dengan tiga pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, Ismail Sabri dan ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.