PAS menyambut baik gesaan kerjasama rentas parti terutamanya dalam usaha peningkatan ekonomi dan sosial semasa mengangani wabak pendamik COVID-19.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menyambut baik sambutan pimpinan parti-parti pembangkang utama di negara ini terhadap usaha pemulihan negara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini akan memberikan ruang yang luas kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang idea dan buah fikiran dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 serta kesan-kesannya termasuk aspek ekonomi dan sosial.

“PAS amat bersetuju dengan pendekatan kerjasama politik rentas parti yang telah dipelopori oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa bulan yang lalu dan kini diteruskan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob,” katanya melalui siaran akhbar di laman Facebook rasmi miliknya.

Menurut Takiyuddin ia merupakan suatu pendekatan politik matang yang berpaksikan kepada keutamaan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan.

“PAS berpandangan langkah yang diambil adalah selaras dengan realiti politik masa kini dalam konteks pentadbiran negara di seluruh dunia di mana tidak wujud dominasi satu-satu parti politik selepas sesuatu pilihan raya umum diadakan.

“Pada masa yang sama Kerajaan akan terus berinteraksi dan mewujudkan kerjasama yang lebih konstruktif melibatkan semua pemegang taruh termasuk pihak pembangkang ke arah langkah-langkah reformasi merangkumi semua sektor, institusi dan segmen masyarakat.

“Pendekatan ini diharapkan akan menjadi suatu permulaan yang baik bagi pembentukan landskap baharu politik negara yang mementingkan kesejahteraan, keharmonian dan keadilan kepada semua rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk,” katanya.

Tamat