“Barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat. Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,” itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi mengumumkan jemaah kabinetnya tadi.

Menurut beliau, Barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini adalah dipilih menerusi gabungan mereka yang berpengalaman dan berupaya memulihkan ekonomi negara ekoran pandemik yang membelenggu selama ini.

Sabri Ismail berkata, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

Katanya, ciri-ciri kepemimpinan sedemikian bakal merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk masuk ke Malaysia.

“Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,”katanya ketika berucap bagi mengumumkan barisan jemaah menteri secara maya hari ini.

Tidak sekadar pembagunan ekonomi, Ismail Sabri berkata memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus COVID-19.

“Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

“Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya.

Ketika mengumumkan barisan Kabinet pentadbirannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata barisan Kabinet yang dibentuk merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Semua barisan Menteri seramai 31 dan 38 sebagai Timbalan Menteri yang dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah Billah, pada jam 2.30 petang, Isnin ini, di Istana Negara.

Tamat