Lantikan tiga orang ahli parlimen PAS membuktikan tanda kepercayaan Kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri, Ismail Sabri Yaakob kepada parti kompenennya.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, PAS memberi jaminan akan memastikan wakil-wakilnya sama ada di dalam Kerajaan mahupun penyokong Kerajaan memberikan komitmen terbaik membantu segala dasar yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri.

“Demi ke arah mencapai matlamat memulihkan negara terutamanya dalam aspek kesihatan, ekonomi, sosial dan perpaduan rakyat PAS akan terus meletakkan komitmen kerajaan bagi mencapai objektif bersama.

PAS yakin kepimpinan Perdana Menteri yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’ merentasi agama, bangsa, suku kaum dan fahaman politik akan mampu menggarap seluruh tenaga di dalam dan di luar kerajaan untuk masing-masing berperanan ke arah mencapai tahap negara aman, sejahtera dan adil untuk semua,” katanya melalui siaran akhbar semalam.

Menurut Takiyuddin, PAS sangat komited dengan segala usaha bersama pembentukan sebuah Keluarga Malaysia dan pihak PAS sangat menghargai sokongan daripada pihak Perdana Perdana Menteri.

“PAS mengucapkan terima kasih dan menghargai kepercayaan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, kepada PAS dengan melantik tiga orang Ahli Parlimen PAS sebagai Menteri Persekutuan dan lima orang sebagai Timbalan Menteri dalam pembentukan kabinet”, katanya.

Tamat