Terlalu banyak masa berpolitik bakal menjejaskan Pelan Pemulihan Negara ( PPN) itu antara yang diingatkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Beliau menggesa semua pihak menghentikan politiking selepas pembentukan Kabinet baharu dan bersama-sama menyelesaikan masalah negara.

“PAS mengajak semua pihak untuk membantu menyelesaikan masalah negara secara bersama.

“Sekarang adalah masa untuk menyelamatkan rakyat dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik, bukan masa untuk politiking yang tidak berkesudahan sehingga merencatkan pelaksanaan PPN secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi, berkata, PAS menyokong pimpinan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pembentukan Jemaah Menteri yang diumumkan semalam.

Isu penting sekarang ini ialah meneruskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara.

“PAS memberikan sepenuh kepercayaan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk menumpukan khidmat kepada rakyat dan menjalankan tugas masing-masing, dengan budaya kerja berprestasi tinggi berorientasikan keberhasilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, berkata pihaknya yakin pelantikan jemat Menteri Kabinet baharu yang diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dibuat dengan begitu teliti dan mengikut lunas Perlembagaan.

“pelantikan itu turut mengambil kira nilai integriti dan kredibiliti kepemimpinan yang akan menerajui negara.

“Jangan kita leka kerana tugas berat sedang dipikul oleh kepemimpinan negara. Usaha memulihkan negara daripada wabak COVID-19 terutamanya dari sudut kesihatan dan ekonomi perlu segera dilaksanakan.

“PAS akan terus memberi komitmen bagi membantu kerajaan menggerakkan agenda perpaduan dan pemulihan negara demi kemakmuran bersama,” katanya.

Dalam pembentukan Kabinet baharu semalam, tiga pemimpin kanan PAS dilantik menteri penuh iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air; Naib Presiden, Senator Idris Ahmad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Lima lagi Ahli Parlimen PAS dilantik sebagai timbalan menteri iaitu Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama) dan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Turut dilantik Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Awang Hashim (Timbalan Menteri Sumber Manusia).

Tamat