“Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang sangat besar dan InsyaAllah, saya dan #TeamMOF, serta agensi-agensi di bawah MOF akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi Negara” itu antara kata yang diungkapkan oleh Menteri Kewangan yang baru dilantik , Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Melalui perkongsiaan beliau di laman Facebook rasmi beliau menyifatkan pelantikan semula ke dalam Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah amanah yang sangat besar.

Beliau bersama pasukan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, di atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.

Beliau pada masa sama turut memetik petikan hadis Riwayat Bukhari berkenaan tanggungjawab pemimpin terhadap orang di bawah pimpinanya yang merujuk kepada tanggungjawab beliau selaku Menteri Kewangan yang dipilih Perdana Menteri.

“Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya,” katanya memetik Hadis Riwayat Bukhari.