SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menawarkan pengurangan sebanyak 70 peratus dan cenderahati kepada orang ramai yang melangsaikan pembayaran kompaun sempena Hari Kebangsaan yang ke-64.

JPJ Selangor menerusi satu kenyataan berkata, kedua-dua tawaran itu ditawarkan kepada para pelanggan yang menjelaskan bayaran kompaun mereka dari 18 Ogos sehingga 16 September ini.

“Sepanjang tempoh Bulan Kemerdekaan, JPJ menawarkan pengurangan bayaran kompaun sebanyak 70 peratus serta memberi cenderahati kepada para pelanggan yang menjelaskan bayaran kompaun bermula 18 Ogos sehingga 16 September 2021 mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan,” kata JPJ Selangor dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, JPJ Selangor turut melancarkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-64 anjuran Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Selangor dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Selangor pada Khamis depan.

JPJ Selangor memaklumkan, sambutan itu turut melibatkan semua cawangan dan Stesen Penguatkuasa JPJ negeri bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

“Sesi perlepasan kenderaan penguatkuasa JPJ Selangor sebagai simbolik pelancaran Hari Kebangsaan Peringkat JPJ Negeri Selangor disempurnakan Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib,” katanya.

Hadir sama, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang yang juga merupakan Ahli Tetap MKJR Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu lagi, Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Kebangsaan turut diadakan selepas sesi pelepasan kenderaan awam pelanggan yang hadir berurusan.

– SINAR HARIAN