Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan skop kerja diantara Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Kesihatan yang menumpukan kepada pengurusan program vaksinasi manakala Datuk Seri Dr Adham Baba akan memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

“Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan iaitu KKM dan MOSTI, selain ada jawatan kuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah. Agak sukar kerana mungkin berbeza daripada pandangan.

“Selepas ini MOSTI akan memfokuskan kepada mengeluarkan vaksin sendiri. Jika Thailand boleh mengumumkan akan mengeluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

“Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah, kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh mengeluarkan vaksin sendiri, keadaan akan berbeza,” katanya kepada pihak media melalui sidang akhbar sempena lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di sini pada Sabtu.

Lawatan itu turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain.

Sementara itu, mengenai vaksinasi dalam kalangan orang ramai termasuk penjawat awam, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum menetapkan langkah untuk mewajibkannya.

“Saya percaya, suatu hari nanti jika masih ramai enggan menerima vaksin, kita akan tetapkan perkara itu sebagai wajib. Kita tidak mahu kerana mereka yang degil tidak mahu mengambil vaksin akan menyebabkan masalah kepada orang lain,” jelas beliau.