IPOH: Video tular yang memaparkan insiden seorang pengawal keselamatan diserang ketika sedang bertugas di kolam renang sebuah kondominium di sini adalah kejadian pada bulan Disember lepas dan suspek sudahpun dituduh di mahkamah awal tahun ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pengawal keselamatan itu disahkan meninggal dunia semalam kerana jangkitan paru-paru.

Katanya susulan insiden pada 29 Dis lepas itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, dan suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Jan lepas kerana mendatangkan kecederaan parah, dan kes disebut semula pada 9 Sept ini.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya semalam dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).

Mior Faridalathrash berkata ahli keluarga pengawal keselamatan berkenaan bagaimanapun tidak berpuas hati dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan kejadian pukul tahun lepas, lalu mereka menularkan kembali rakaman serta gambar insiden berkenaan.

“Berdasarkan perkembangan baharu ini, polis akan merujuk semula kertas siasatan terhadap kes berkenaan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini memandangkan ia masih dalam perbicaraan mahkamah.

Sejak semalam, tular dua rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang bersama kanak-kanak bertindak menyerang pengawal keselamatan menggunakan meja hingga pengsan. – BERNAMA