BERA, 30 Ogos 2021 – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain hadir ke Kampung Batu Bor, Pahang untuk melihat pelaksanaan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) melibatkan seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang lemas semasa melaksanakan latihan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden yang melibatkan seorang anggota TDM daripada 10 Briged (Para) iaitu Lans Koperal Mohamad Azrin bin Mohamad Isa yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) yang dipercayai lemas dan hilang ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Semasa kejadian, anggota sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor. Kejadian berlaku pada 29 Ogos 2021 jam 4.40 petang.

TDM telah menggerakkan anggota operasi dan menyelamat namun tiada penemuan sehingga kini. Op SAR bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian pada 29 Ogos 21 jam 4.50 petang. Op SAR ini turut juga dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat.

Pada jam 29 Ogos 21 jam 7.00 petang, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang semakin gelap dan Op SAR disambung pada hari ini.

Sebarang perkembangan tentang kejadian tersebut akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

TDM berharap agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu misi pencarian ini serta bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat.

Semoga pengoperasian Op SAR ini dipermudahkan dan diharap anggota dapat ditemui dengan kadar yang segera.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berharap anggota berkenaan ditemui segera dan selamat.

“Saya difahamkan operasi mencari dan menyelamat masih digerakkan dengan diketuai TDM dibantu pihak bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Tiada harapan lebih besar selain mahu Lans Koperal Mohamad Azrin ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, beliau juga akan memastikan TDM melakukan apa jua yang terdaya dalam operasi pencarian itu bagi memastikan anggota yang hilang segera ditemui.

Tamat.