Kejayaan dua atlet paralimpik negara acara powerlifting di temasya Paralimpik Tokyo 2020 sangat memberi impak mendalam.

Kejayaan dua atlet ini turut dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui posting laman Facebook rasmi beliau.

“Terima kasih Jong Yee Khie kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat perak. Anda telah berjaya menyahut cabaran untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo.

“Penghargaan yang sama buat jurulatih dan seluruh kontinjen Malaysia,” katanya menerusi catatan di akaun rasmi Facebook beliau.

Pagi Isnin, atlet berusia 32 tahun dari Batu Kawa, Kuching itu merangkul pingat perak kategori 107 kilogram (kg) lelaki, selepas berjaya mengangkat bebanan seberat 237 kg pada percubaan kedua di Tokyo International Forum.

Walaupun tidak berjaya dalam percubaan pertama dengan angkatan seberat 230 kg, beliau kembali bangkit untuk mengesahkan pingat perak dalam percubaan keduanya, dengan angkatan seberat 237 kg.

Kejayaan Yee Khie itu merupakan sumbangan pingat kedua kontinjen negara di Tokyo, selepas Bonnie Bunyau Gustin menghadiahkan pingat emas kategori 72 kg dengan angkatan 217 kg, yang juga merupakan rekod baharu Paralimpik pada Sabtu lepas.

Tamat.