Pembangkang mulai hari ini harus turut sama membantu mengatasi isu pokok wabak COVID 19, kerana semuanya rakyat Malaysia.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, segala isu negara perlu melibatkan semua pihak disebabkan berada dalam satu kapal yang sama.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengaganas. Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga

“Penglibatan NGO dan pihak pembangkang yang akan lebih membantu kecepatan proses untuk mencapai kejayaannya, insya-Allah. 

“Oleh itu, jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara,” katanya melalui satu posting di laman sosial Facebook rasmi beliau tadi.

Menurutnya, Hadi Awang berkata, penumpuan misi negara kini perlu ke arah menyelesaikan masalah asasi terdesak dan isu COVID 19 serta mereka yang bertugas untuk menangani kesan pandemik terhadap kehidupan rakyat dan perjalanan ekonomi negara. Terutamanya bagi memenuhi segala keperluan asasi rakyat dan perjalanan aktiviti kemajuan yang lain.

“Kita mengharapkan segala tumpuan diberikan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah asasi yang terdesak dalam keadaan darurat hari ini.

” Peranan mereka yang berada di barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara.


“Usaha mencegah penularan wabak pandemik melalui agenda vaksinasi yang disebarkan seluas-luasnya, sudah mula menunjukkan tanda awal kejayaan negara kita sehingga ke tahap dunia. Keadaan ini  boleh memberikan suatu nafas yang segar dan memberangsangkan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. 

Menurutnya beliau berkata, pihak kerajaan hendaklah mendengar dan menerima pandangan serta kritikan yang membina daripada semua pihak dengan melakukan muhasabah terhadap kelemahan dan kekurangan yang berlaku. 

“Barisan kabinet baharu juga perlu bersikap menerima penyertaan semua pihak bagi melibatkan diri dan memainkan peranan. Termasuklah penglibatan NGO dan pihak pembangkang yang akan lebih membantu kecepatan proses untuk mencapai kejayaannya, insya-Allah. 

“Hal ini disebabkan mereka yang menjadi mangsa wabak pandemik tidak mengenal, sama ada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, termasuklah kalangan yang membisu di atas pagar,” katanya.

Tamat