Sebanyak RM 2.8 juta diperuntukkan buat pesawah yang terkesan akibat bencana alam kepala air di Gunung Jerai melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP), dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, berkata kadar bantuan yang diperuntukkan oleh kerajaan ialah RM1,800 per hektar dengan keluasan maksimum tiga hektar.

“Walaubagaimanapun ianya harus melalui penilaian yang dilaksanakan oleh jabatan teknikal, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas diberi taklimat ringkas oleh pengurusan tertinggi mengenai situasi banjir di Kedah, dalam selepas masuk bekerja secara secara rasmi di kementeriannya.

Yang turut hadir ialah dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, selain Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Menurut kenyataan dikeluarkan MAFI, Ronald melalui taklimat itu dimaklumkan bahawa 34.2 hektar kawasan tanaman padi berusia antara 75 hingga 105 hari bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di kawasan Boi, Yan, terjejas dalam kejadian berkenaan.

Kawasan luar jelapang yang terkesan pula ialah bawah seliaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merbok, seluas 18.4 hektar berusia antara 95 hingga 105 hari.

Selain itu, kawasan bawah seliaan Jabatan Pertanian membabitkan 15,759 hektar berusia antara 95 hingga 110 hari.

“Ini menjadikan keseluruhan keluasan terbabit ialah 15,811.6 hektar. Bilangan keseluruhan pesawah yang terkesan masih dalam bancian

Kejadian ini menyebabkan hasil padi tidak dapat dituai sepenuhnya kerana padi rebah selepas banjir surut dari kawasan sawah padi. Kualiti padi yang dituai juga akan terkesan dan seterusnya menjejaskan pendapatan pesawah terbabit,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memperuntukkan RM1.1 juta bagi membaik pulih 34 hektar sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan, yang musnah dalam banjir lumpur akibat fenomena kepala air dari Puncak Gunung Jerai, 18 Ogos lalu.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika meninjau lokasi bencana berkenaan pada minggu lalu.

Tamat.