Misi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad akan memfokuskan program-program berbentuk keislaman serta membasmi kemiskinan yang selaras dengan konteks Keluarga Malaysia dalam pentadbirannya.


Beliau berkata, setiap agensi di bawah tanggungjawabnya perlu melaksanakan program-program yang membina masyarakat ke arah lebih baik selaras pendekatan Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, katanya, program-program yang dilaksanakan sebelum ini seperti Tabung Musa’adah Covid-19 akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.

Terutamanya bagi mengatasi masalah kemiskinan di bandar, yang sebenar membawa kesan lebih buruk daripada kemiskinan di kampung.

“Tabung Musa’adah ini Insya-ALLAH akan diteruskan. Saya akan berbincang dengan pihak yang mengendalikan tabung ini kerana ia adalah kerja-kerja kebajikan yang perlu dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Daging Lembu dan Dapur It’am Merdeka di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut, sejumlah 700 pek daging segar daripada 10 ekor lembu sumbangan QSR Brands diagihkan kepada golongan yang terkesan dan memerlukan sekitar Putrajaya.

Turut diagihkan, 100 pek bakul makanan seperti beras, minyak masak dan susu sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri bernilai RM10,000 manakala 600 pek bubur Asyura diagihkan di bawah inisiatif Dapur It’am iaitu program agihan makanan percuma Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Tamat